Monday, 2 August 2010

pemimpin paling ajaib di zamannya...

Ke hadapan Tuhan yang Maha Baik,

Yang sedang menggerakkan tangan untuk menulis.

Tuliskanlah untuk kami ya Tuhan, tentang orang yang kerananya, Dikau buatkan kami kembali mempedulikan- Mu dan memberi perhatian tentang-Mu. Walhal selama ini kami tidak pernah ambil kisah kewujudan-Mu walaupun kami percaya tentang adanya Engkau, wahai Tuhan.

Dia dengan susah payahnya berjuang untuk membuatkan kami benar-benar rasa memiliki-Mu, ya Allah, ya Tuhan.

Katanya, mendapatkan Tuhan itulah rahsia kebahagiaan. Bahkan Tuhan menurutnya adalah segala-galanya buat insan. Siapa yang mempunyai Tuhan, orang itu pasti mendapatkan segala-gala yang diperlukan dalam hidupnya. Menurutnya lagi, Tuhan adalah cinta agung, yang telah memberikan seagung-agungnya cinta kepada setiap manusia ciptaan-Nya. Siapa yang berusaha membalasi cinta agung-Nya, nescaya orang itu akan menjadi manusia yang padanya miskin atau kaya sama sahaja. Dipuji atau dikeji orang tidak menjejaskan apa-apa di dalam dirinya. Ini kerana orang yang mencintai Tuhan tidak lagi bersandar pada kekayaan dan pujian. Tidak juga dapat disusahkan oleh kemiskinan dan kejian. Apa yang ditakuti ialah cercaan Tuhan. Apa yang ditakuti ialah kehilangan Tuhan. Tidak lagi bersandar dengan kemegahan dan keistimewaan dunia.

Ya Allah, ia benar-benar membuatkan kami tidak lagi keseorangan dalam hidup, kerana sudah mempunyai Tuhan. Kami tidak takutkan lagi masa depan kerana di sana ada Tuhan tempat mengharap dan bergantung. Penderitaan apa pun yang menimpa bukan lagi masalah kerana merasakan itulah kebijaksanaan dan keadilan Tuhan.

Tuhan begitu berperanan rasanya dalam hidup, bahkan Engkau tempat berbual setiap detik, teman hidup yang sangat bermakna. Engkau Tuhan sudah menjadi matlamat dan keutamaan dalam hidup, seperti yang Dikau ajarkan ikrar dalam sembahyang, “Bahawa hidup mati adalah semata-mata untuk Tuhan yang memerintah seluruh alam.”

Dialah, ya Allah, yang telah berjaya membuatkan kami mampu membesarkan- Mu begitu sekali, hingga sampai memperkecilkan sahaja semuanya yang selain-Mu. Lalu akibatnya hidup kami kini sudah jadi berbeza sekali dengan cara hidup kami sebelumnya. Sistem fikiran dan sistem perasaan berubah secara total, dikeranakan teras kepercayaan sudah diberikan sepenuhnya kepada Tuhan. Yang sebelumnya kepercayaan itu disandarkan semuanya kepada ajaran ideologi, kapitalis, politik, wang dan bersandarkan kepada kehidupan dunia. Yang di sana sama sekali tidak memasukkan Tuhan sebagai modal.

Wahai Tuhan, sungguh perubahan sistem dalam diri kami ini bukan kami yang rancangkan. Tapi dialah. Dia bernama Abuya Ashaari Muhammad yang ditakdirkan oleh Engkau. Dia ialah ayah orang Islam. Dia juga ibu orang Islam. Bukan ayah ibu fizikal atau ayah ibu kandung. Tetapi ialah ayah ibu kepada rohani manusia. Ayah ibu kandung berperanan melahirkan, membesarkan, memberi makan, pakaian dan menyekolahkan. Maka di sekolah, dialah yang mengambil peranan ibu ayah kepada mental dan roh manusia. Dia ialah ibu bapa kedua kepada manusia, yang mengambil peranan untuk membuatkan roh manusia itu dilahirkan dan dibesarkan untuk melakukan kerja-kerja keinsanan, yang mana bila seseorang datang padanya, dihidupkan roh orang itu dengan diberikannya Tuhan. Maka lahirlah atau hiduplah roh di dalam diri manusia itu. Walhal sebelumnya roh tidak aktif, kerana ibu bapa kandung tidak mampu untuk mengambil peranan itu. Ibu roh sahaja yang tahu melakukannya. Itulah dia manusia roh yang Tuhan telah lahirkan ke bumi Malaysia ini. Dia juga bapa roh kerana bertanggungjawab membesarkan dan mengaktifkan peranan roh-roh manusia melalui pendidikan rohaniah yang dianugerahkan Allah kepadanya. Hingga manusia yang bersekolah dengannya, menjadi orang dunia dan Akhirat sekaligus.

Ya Allah, Dikau pun tahu bahawa Abuya Ashaari Muhammad itu ialah keperluan setiap manusia. Memang Allah-lah yang melahirkan dia ke dunia untuk itu. Lalu izinkanlah kami untuk memperkenalkannya kepada Malaysia dan kepada dunia. Khianat rasanya kalau dia disorokkan. Sedangkan mengenalinya, manusia akan mendapat Tuhan hingga mampu untuk cinta dan takutkan-Nya.

Tuhan, bukalah laluan untuk dia dikenali. Dan ajarkanlah kami tentangnya. Kerana kami bukan kenal sangat orang ini. Yang paling mengenalinya ialah Engkau, Tuhan kerana Tuhanlah yang menciptakannya dan mengizinkan semua keajaiban itu berlaku kepadanya. Terutama kemampuannya berhubung rapat dengan Tuhan dan dapat hubungkan pula hati-hati orang lain dengan Tuhan.

Orang dapat berhubung rapat dengan Perdana Menteri pun sudah satu kebanggaan, dianggap pencapaian yang menakjubkan. Inikan pula boleh rapat dengan Allah, Maharaja dunia dan Akhirat, Tuan punya langit dan bumi, Syurga dan Neraka. Tentulah sesuatu yang maha menakjubkan dan merupakan sesuatu yang paling ajaib di dunia. Kekuatan apakah yang ada padanya sehingga dia mampu melakukannya?

Akhirnya jika ada pahala untuk usaha ini Tuhan, mohon dianugerahkanlah pada Abuya, sebagai bayaran kepada jasanya yang amat besar kepada kami. Ingin juga ganjaran itu disampaikan kepada semua yang pernah berjasa, kedua ibu bapa dan mana-mana saja kaum muslimin, muslimat yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia.

Ya Allah, sudilah terima usaha ini sebagai pengabdian pada-Mu. Kau sokonglah, kerana tanpa sokongan-Mu, buku ini tidak mampu berbuat apa-apa kerana hanya kuasa-Mu yang mampu memberi bekas. Saya meminta lagi Tuhan dan hanya pada-Mu sahaja tempat saya menyatakan harapan. Tolong pelihara hati saya agar tidak sedikit pun merasa megah dan ujub dengan hasilnya nanti. Pastikan ya Allah, hati saya akan malu dengan nikmat ini, takut tidak lulus ujian ini, takut tidak mendapat redha dan cinta-Mu. Takut akan dilempar ke dalam Neraka yang Kau sediakan ya Allah! Amin.

– Hamba yang daif Khadijah Aam (@ Hatijah Aam)
(Prakata Buku PPADZ )

sumber : http://kanjengsunan.multiply.com/journal/item/123/pemimpin_paling_ajaib_di_zamannya...

Comments :

0 comments to “pemimpin paling ajaib di zamannya...”

Post a Comment

Blog Directory

STATISTIK

 

Copyright © 2009 by ZIUNIK